Airul Firham Akan Jadi Ikon Bidang Kemahiran – Ismail

18 Aug 2015

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib Daripada Kamarul Irwan Alias
SAO PAULO, 17 Ogos (Bernama) — Pemenang pingat gangsa di World Skills Competition (WSC) Sao Paulo, Brazil, Airul Firham Che Amran akan dijadikan ikon negara dalam meningkatkan bidang kemahiran khususnya di kalangan belia.Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata kejayaan Airul Firham, 21, mampu menyemarakkan sektor kemahiran yang selama ini dianggap bidang kelas kedua.”Kita nak kejayaan ini menjadi galakan kepada anak-anak muda terhadap bidang kemahiran dalam usaha meningkatkan tenaga mahir negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat dan upacara penutupan WSC 2015 Sao Paulo pada Ahad.Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Airul Firham yang mewakili Malaysia dalam bidang kemahiran dandanan rambut menjadi peserta pertama negara menaiki podium dalam 12 penyertaan Malaysia di WSC sejak 1993.

Ismail yang juga merupakan chef-de-mission Malaysia ke WSC Sao Paulo melahirkan rasa bangga atas kejayaan remaja dari Arau, Perlis itu yang berjaya menaikkan nama Malaysia di pentas dunia.

Kementerian, katanya, bersama Kementerian Kerja Raya akan melakukan post mortem terhadap pencapaian keseluruhan Malaysia pada WSC Sao Paulo serta mencari ruang bagi meningkatkan pungutan pingat pada pertandingan akan datang.

Dalam pada itu, Ismail berkata Airul Firham akan menerima imbuhan berjumlah RM10,000 atas pencapaian menerima pingat gangsa berkenaan.

“Saya sendiri akan menambah ganjaran itu melalui sumbangan peribadi saya kerana beliau telah mempertahankan maruah negara,” katanya.

Sementara itu, Rosnah berkata kejayaan Airul Firham bakal menjadi pencetus kepada usaha melahirkan bintang di kalangan anak muda dalam bidang kemahiran.

“Saya sebagai anak Malaysia berasa cukup bangga kerana kita telah mencipta sejarah dan tidak mustahil sejarah ini akan berulang dan kita mengharapkan peningkatan dari segi pingat pada pertandingan akan datang,” katanya.

— BERNAMA