Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (ATEPM)

1. Apa itu ATEPM?

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (ATEPM) mula diperkenalkan sejak tahun 1991, iaitu semasa Pertandingan Johan Kemahiran Malaysia (PJKM) dan anugerah ini masih lagi diteruskan sehingga kini. ATEPM akan disampaikan pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM), yang mana merupakan wadah pengiktirafan kerajaan bagi mengiktiraf individu yang cemerlang dalam pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, ianya juga merupakan antara platform tertinggi pengiktirafan kepada belia dan tenaga pengajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kemahiran masing-masing.

Terdapat dua (2) kategori ATEPM, iaitu ATEPM-Belia dan ATEPM-Pengajar. Penerima ATEPM-Belia akan dipilih daripada kalangan peserta terbaik Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan penerima ATEPM-Pengajar akan dipilih daripada kalangan peserta terbaik Pertandingan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP). Penerima ATEPM akan menerima wang insentif sebanyak RM10,000.00 dan piala ATEPM.

 

2. Apa itu Pertandingan WSMB, WSMP, JSM?

Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) merupakan pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun. Pertandingan WSMB ini terbuka kepada belia warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun ke bawah kecuali beberapa bidang kemahiran dengan syarat umur 23 tahun ke bawah.

Manakala, Pertandingan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) yang juga dianjurkan setiap tahun merupakan pertandingan kemahiran untuk meningkatkan kekompetenan dan daya saing di kalangan pengajar atau jurulatih institusi latihan kemahiran atau pendidikan awam, swasta dan industri. Pertandingan WSMP terbuka kepada warganegara Malaysia yang bertugas sebagai tenaga pengajar dan bekerja di institusi dalam bidang yang dipertandingkan tidak kurang dari 4 tahun.

Selain itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) juga memperkenalkan Pertandingan JuniorSkills Malaysia (JSM) bertujuan mengiktiraf pelajar sekolah berumur 16 tahun ke bawah yang berketerampilan. Ianya juga akan memberi pendedahan mengenai TVET pada peringkat lebih awal di kalangan pelajar-pelajar sekolah bagi memupuk minat generasi muda menceburi kerjaya berasaskan kemahiran.

 

3. Bagaimana untuk menyertai Pertandingan WSMB/WSMP/JSM?

Iklan dan syarat-syarat permohonan penyertaan pertandingan akan dipaparkan di laman sesawang www.dsd.gov.my/ www.myspike.my/ skillsmalaysia.gov.my; kebiasaannya pada bulan Februari bagi setiap tahun. Penyertaan permohonan perlu dibuat secara atas talian.

We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…