WorldSkills ASEAN (WS ASEAN)

WorldSkills ASEAN yang juga dikenali sebagai ASEAN Skills Competition (ASC) ialah pertandingan kemahiran peringkat serantau yang dianjurkan setiap dua tahun dengan giliran tuan rumah dalam kalangan negara-negara ASEAN. Negara-negara yang terlibat dalam pertandingan ini ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Pertandingan ini terbuka kepada belia berumur 22 tahun ke bawah, dengan beberapa kategori tertentu membenarkan penyertaan hingga 25 tahun ke bawah. Ia berfungsi sebagai platform persediaan untuk peserta negara sebelum menyertai pertandingan kemahiran bertaraf dunia iaitu WorldSkills Asia (WSA) dan WorldSkills Competition (WSC).

Pertandingan ini merangkumi pelbagai bidang kemahiran teknikal dan vokasional, antaranya teknologi automotif, elektronik, mekatronik, teknologi maklumat, perhotelan, kulinari, reka bentuk grafik, pendawaian elektrik, pertukangan kayu, dan fesyen teknologi.

Selain menjadi pentas mengasah kemahiran belia, WorldSkills ASEAN juga bertujuan menggalakkan kerjasama erat antara kerajaan, industri, dan institusi latihan di rantau ini. Di samping itu, pertandingan ini memainkan peranan penting dalam mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperkukuhkan daya saing tenaga kerja, dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kemahiran dalam pembangunan ekonomi ASEAN.